Monday, 12 December 2011

Mari Belajar Bahasa


MARI BELAJAR TATABAHASA
(Yang biasa tidak semestinya betul , yang betul kita biasakan)
Selamat datang dalam ruangan Mari BelajarTatabahasa
Kali ini kita akan belajar tentang
Subjek dan Predikat

Asas kepada pembinaan sesuatu ayat ialah subjek dan predikat. Subjek dan predikat tidak bolek boleh dipisahkan dan menjadi asas kepada pembinaan ayat yang sempurna.



Subjek
i. Subjek ayat biasanya terdiri daripada frasa nama.
ii.Frasa kerja dan frasa adjektif yang berfungsi sebagai frasa nama juga boleh menjadi subjek dalam ayat.

Frasa nama subjek boleh terdiri daripada kata nama am, kata nama khas, kata nama terbitan, kata ganti nama diri, dan kata ganti nama tunjuk.

1.          Kata nama am sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Jam  itu
amat mahal.
Budak ini
perlu diberi bimbingan.

  2.         Kata nama khas sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Abdul Wahab
pegawai yang bijaksana.
Hotel Grand Palace
terletak berhampiran Stadium Negara.

3.        Kata nama terbitan sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Masakan Ibu
sedap.
Penderitaan orang itu
mendapat simpati orang ramai
Penderaan
perlu dibanteras.


4.        Kata ganti nama diri sebagai subjek.
SUBJEK
PREDIKAT
Dia
sedang membaca buku.
Mereka
sudah ke sana kelmarin.


5.         Kata ganti nama tunjuk sebagai subjek.
SUBJEK
PREDIKAT
Itu
rumah bapa saudara saya.
Ini
pensel saya.


6.        Kata kerja yang berfungsi sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Bersukan
boleh menyihatkan tubuh badan.
Membaca
kegemaran saya.


7.       Kata adjektif yang berfungsi sebagai subjek.

SUBJEK
PREDIKAT
Putih
lambang kesucian dan ketulusan.
Kecil
tidak bererti lemah.



Predikat
Predikat merupakan keterangan kepada subjek. Predikat terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
  1.          Predikat frasa nama.

SUBJEK
PREDIKAT
Kerbau
sejenis haiwan.
Kereta itu
kepunyaan saya.


2.         Predikat frasa kerja.
SUBJEK
PREDIKAT
Ali
mandi di sungai.
Guru
sedang mengajarkan murid-murid di kelasnya.


3.        Predikat frasa adjektif.
SUBJEK
PREDIKAT
Kereta itu
terlalu mahal.
Bunga kemboja
sungguh wangi.

4.        Predikat frasa sendi nama.
SUBJEK
PREDIKAT
Pembaris itu
di atas meja.
Puan Salmah
dari pasar.


Wednesday, 30 November 2011

Biarku Menjadi Lilin..pengorbanan ikhlas guru-guru demi anak bangsa...




Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Guru Pembina Negara Bangsa...Bersama kita hayati dan selami pengorbanan guru..

GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979